MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kota Bharu

JPJ buka tempahan nombor plat siri DCC

11 Jun 2012

KOTA BHARU -Tempahan nombor pendaftaran kenderaan siri DCC1 hingga DCC999 dibuka kepada orang awam secara tawaran bermula jam 8 pagi 4 Jun lalu sehingga jam 12 tengahari 24 Jun nanti.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Abd Ghani Che Kasim berkata, antara kategori besar bermula dari nombor satu hingga 10 (1-10) dengan harga tempahan minima RM10,000.

“Bagi kategori nombor menarik (attractive numbers) termasuk 11 hingga 9999 dengan harga tempahan minima RM2,000,” katanya melalui kenyataan kepada media, di sini.

Selain itu, Abd Ghani berkata, bagi kategori nombor popular antaranya 20 hingga 9988 dengan harga tempahan minimum RM300.

Beliau berkata, jabatan itu tidak terikat untuk menerima atau meluluskan mana-mana tempahan tertinggi atau mana-mana permohonan tempahan dan pemohon boleh merujuk panduan dan syarat lanjut mengenai tempahan nombor pendaftaran di dalam borang (M.V. 10) iaitu Borang Tempahan Nombor Pendaftaran.

“Pemohon boleh menyertakan wang pendahuluan sebanyak 50 peratus daripada harga tempahan penuh dalam bentuk wang pos, bank draf atau kiriman wang untuk deposit hendaklah dibayar atas nama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia,” katanya.

Abd Ghani berkata, bagi tender siri DCC, beliau memberi peringatan, borang mestilah diisi dengan tulisan tangan atau bertaip sahaja dan sebarang pindaan atau pembetulan tidak dibenarkan dan perlulah menggunakan tulisan menggunakan huruf besar.

Kata beliau, wang perkhidmatan RM10 hendaklah dibayar di kaunter dan resit hendaklah disertakan bersama borang tender (wang pos, bank draf dan tunai tidak diterima) dan keputusan hanya boleh disemak selepas atau pada tarikh yang ditetapkan.

Katanya, permohonan tempahan boleh dibuat melalui borang tempahan nombor pendaftaran kenderaan dan ditujukan kepada Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan, Taman JPJ Panji, 16100 Kota Bharu.

sumber : sinarharian.com.my