MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kota Bharu

Semai semangat kemerdekaan kepada pelajar

KOTA BHARU 28 Ogos - Warga pendidik di negeri ini bertanggungjawab untuk terus menyemai semangat kemerdekaan kepada pelajar bagi melahirkan generasi yang cintakan negara.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, institusi pendidikan memainkan peranan yang cukup besar dalam memupuk semangat patriotik kepada pelajar.

"Selain pendedahan melalui pendidikan, kita turut menyarankan setiap sekolah di negeri ini memberi pengisian yang berunsurkan semangat kemerdekaan," katanya dalam majlis Sambutan Merdeka Raya Jabatan Pendidikan Kelantan di Jabatan Pendidikan Kelantan, di sini hari ini.

Sempena majlis tersebut, sebanyak 700 Jalur Gemilang diagihkan kepada seluruh jabatan serta orang ramai bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang.

Katanya, sekolah harus mengajar pelajar supaya lebih menghayati erti kemerdekaan dan tidak hanya sekadar mengibar bendera apabila tiba bulan kemerdekaan.

Menurut Hussain, langkah kementerian mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu permulaan yang amat tepat.

"Mata pelajaran Sejarah mempunyai 'kekuatan' untuk meningkatkan kefahaman pelajar mengenai perkembangan sejarah negara kita terutamanya. Kita turut berusaha ke arah tersebut dengan mengedar modul mengenai kefahaman sejarah ke seluruh sekolah bermula Julai lalu," katanya.

Beliau turut berharap warga pendidik memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan perpaduan dalam kalangan pelajar di sekolah.

"Semangat perpaduan amat penting kerana ia adalah salah satu kunci kejayaan sesebuah negara," katanya.


Sumber:Utusan Malaysia