MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Pasir Puteh

Tembak di kawasan masjid

PASIR PUTEH - Kes tembak yang menyebabkan kematian jemaah masjid di sini, Khamis lalu dianggap sebagai tindakan melampaui batas.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, masjid sepatutnya menjadi kawasan aman dan dihormati semua pihak.

“Kita kesal kerana kejadian itu berlaku di kawasan masjid yang sepatutnya dijaga secara bersama supaya ia menjadi kawasan yang aman,” katanya selepas mengimamkan solat jenazah mangsa tembak, Zahari A Razak, 57, di Masjid Nurul Anuar, petang kelmarin.

Beliau bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar roh arwah ditempatkan bersama golongan mukmin yang baik.

Ketika diminta mengulas mengenai kekerapan kes tembak di negeri ini, beliau berkata, pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha mengawal serta mengesan punca sebenar berhubung kekerapan kes sedemikian.

Dalam kejadian jam 9.25 malam itu, Zahari ditembak sejurus keluar dari masjid selepas menunaikan solat Isyak berjemaah.

Tembakan itu menyebabkan kereta BMW 525 yang dipandu mangsa tersadai di kawasan rumput berhampiran masjid sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Zahari yang merupakan peraih ikan di Kuala Besut maut terkena satu daripada lima das tembakan dilepaskan penjenayah yang meninggalkan tempat itu dengan motosikal.

Sementara itu, bekas Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim ketika ditemui selepas solat jenayah itu berkata, beliau berharap keluarga arwah dikurniakan kesabaran tinggi dalam berdepan situasi mengejutkan itu.

“Takziah kepada seluruh anggota keluarga arwah dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Beliau berkata, arwah merupakan jemaah tetap Masjid Nurul Anuar dan sentiasa menjaga perhubungan baik dengan masyarakat.

Sumber:Sinar Harian