MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Ikon dikir barat kenang jasa guru

PASIR PUTEH - Ikon dikir barat, Sulizi Che Awang menghasilkan beberapa lagu yang mana liriknya berkisar mengenai pengorbanan guru yang mendidik beliau sehingga menjadi insan berguna.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Sulizi memanfaatkan penglibatan dalam kesenian dikir barat dengan menampilkan lagu yang mengenang jasa guru.

“Bersempena sambutan Hari Guru tahun ini, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang mendidik saya sehingga saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Kerana jasa itu juga, saya menjadi guru dan kini sebagai pensyarah, saya sedar kejayaan ini hasil komitmen guru-guru saya suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan persembahan pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2014 di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini, baru-baru ini.

Sulizi berkata, beliau berhasrat untuk menerbitkan album dikir barat khas untuk guru-guru di seluruh negara pada masa akan datang.

"Saya menggambarkan lagu dikir mengenai guru itu berkumandang setiap tahun iaitu setiap kali menyambut Hari Guru, ia boleh dinyanyikan pelajar yang menunjukkan lagu itu kepada guru yang mereka sayangi.

“Menterjemahkan terima kasih boleh dilakukan dengan pelbagai cara, pada saya melalui lagu khususnya dikir barat amat sesuai kerana ia boleh diterima semua golongan,” katanya.

Sulizi melakar rekod yang sukar digugat apabila dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik sebanyak enam kali daripada lapan pertandingan akhir Dikir Barat Kebangsaan dari 1994 hingga 2005.

Segalanya bermula apabila beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 1988 dan kesungguhan mendalami dunia dikir barat membawanya ke puncak.

Sumber:Sinar harian