MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Kelantan FM sasar 1 juta pendengar dalam talian

KOTA BHARU 18 Feb. - Kelantan FM menyasarkan untuk menarik satu juta pendengar secara dalam talian pada tahun ini selepas memperkenalkan aplikasi yang boleh dimuat naik secara percuma di telefon pintar melalui Google Play Store dan Apps Store.

Pengarah Penyiaran Kelantan, Datuk Sayuti Mukhtar berkata, sasaran tersebut mampu direalisasikan bersandarkan sambutan menggalakkan yang diterima pihaknya oleh pendengar dari luar negeri ini.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, sebanyak 500,000 pendengar telah mengikuti siaran Kelantan FM secara dalam talian di seluruh dunia.

"Sejak 2011, jumlah penggemar Kelantan FM secara dalam talian menunjukkan peningkatan dan merupakan sesuatu yang positif untuk perkembangan stesen radio ini.

"Pengenalan aplikasi ini secara tidak langsung telah membuka lembaran baharu dalam dunia penyiaran di bawah jabatan kerajaan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Kelantan FM Mobile di Auditorium Kelantan FM, Wakaf Che Yeh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sayuti memberitahu aplikasi berkenaan dilengkapi dengan pelbagai maklumat berkaitan dengan Kelantan FM, berita dan maklumat terkini serta penyampai radio berkenaan.

"Kemudahan ini secara tidak langsung mampu mengubat kerinduan anak-anak Kelantan yang berada di luar negeri ini untuk mengikuti siaran Kelantan FM secara lebih dekat," katanya.


Sumber:Utusan Malaysia