MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Sayalah bapa, sayalah ibu

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah gambaran kehidupan perlu dilalui seorang bapa tunggal, Rosdi Mat Zin, 39, bersama lima anaknya.

Rosdi yang kehilangan isteri, Rosmini Che Ngah, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Januari lalu, kini mengambil alih tugas sebagai bapa dan ibu kepada anak-anak.

“Saya sudah buat keputusan untuk menjaga semua anak walaupun sukar. Alhamdulillah, saya dikurniakan anak yang baik dan mudah untuk diuruskan walaupun ketiadaan ibu mereka,” katanya ketika ditemui di rumah sewa di Kampung Pengkalan Batu, di sini.

Menurutnya, tiga anaknya masih bersekolah, manakala anak bongsu diberikan kepada pengasuh dan selebihnya, dia meminta tolong adik-beradik untuk menjaga semasa keluar bekerja.

Rosdi berkata, selepas pemergian isteri tercinta, dia dan anak-anak diuji dengan beberapa musibah.

Katanya, anak ketiga, Mohamad Danny Daniel, 8, dikesan mempunyai jangkitan kuman di dalam buah pinggang dan sejak April lalu, anaknya itu perlu berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan.

“Sepanjang rawatan tersebut, saya terpaksa bergilir cuti dengan anak sulung (Muhammad Fairuz) bagi memastikan Danny mendapatkan rawatan sempurna.

“Walaupun Fairuz akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan tahun ini, tetapi saya tidak mempunyai pilihan selain meminta dia ponteng sekolah untuk menguruskan adik-adik. Ini kerana tempoh rawatan Danny akan mengambil masa lama,” katanya.

Selain itu, kata Rosdi, anak kedua, Intan Ayuni, 12, yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di SK Dato Hamid 2 turut mengalami masalah pendengaran.

Menurutnya, masalah itu dikesan selepas Intan Ayuni menjalani pembedahan apendiks, yang menyebabkan dia tidak dapat mendengar dengan baik sekali gus menjejaskan kehidupan kanak-kanaknya.

“Walaupun saya dan anak-anak diuji dengan pelbagai dugaan, kami tetap bersabar. Dengan pendapatan hanya RM1,500 sebulan sebagai pekerja di sebuah kedai aksesori kereta, saya tidak mampu untuk memberi keselesaan dan menyelesaikan masalah dihadapi.

“Dengan gaji sebanyak itu, saya perlu bayar sewa rumah RM150 sebulan dan upah pengasuh RM250. Selebihnya digunakan untuk beli makanan harian dan kegunaan berulang alik mendapatkan rawatan Danny di Kota Bharu,” katanya.

Menurut Rosdi, walaupun setiap bulan gajinya tidak mencukupi, tetapi dia sentiasa mengajar anak-anaknya untuk bersabar dan berjimat cermat.

Katanya, sebelum ini dia ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban sebagai bapa tunggal, tetapi ada pihak mengatakan dia dan anak-anak tidak layak.

"Disebabkan masalah kewangan, sehingga sekarang saya belum dapat beli pakaian baru untuk Aidilfitri yang akan disambut lebih kurang seminggu lagi.

“Saya sedih bila memikirkan tidak dapat beri baju baru kepada anak-anak, lebih-lebih lagi mereka terpaksa beraya tanpa kehadiran ibu,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu, boleh memberikan sumbangan melalui Bank RHB Bank 10305700069902 atas nama Rosdi Mat Zin.

 

Sumber:Sinar harian