MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Tapak utama CNMC di Kelantan mengandungi 623,000 auns emas

Lombong emas utama CNMC Goldmine Holdings Ltd di Kelantan mengandungi sumber galian kira-kira 623,000 auns emas pada akhir 2016.

Menurut kajian tahunan pakar geologi bebas, jumlah sumber galian itu adalah yang tertinggi sejak penerokaan dimulakan pada 2007.

Kajian oleh Optiro Pty Ltd yang berpangkalan di Australia, kumpulan perunding yang memberi tumpuan kepada perlombongan, menganggarkan 13.25 juta tan metrik sumber yang diukur, dinyata dan disimpulkan di medan emas 10 kilometer persegi milik CNMC tersebut.

Berdasarkan keseluruhan gred emas sebanyak 1.5 gram bagi satu tan metrik, ia diterjemahkan kepada 623,000 auns emas di dalam tanah pada 31 Disember 2016, lebih sedikit daripada anggaran Optiro pada tahun sebelumnya, iaitu 618,000 auns.

Penemuan itu adalah laporan terbaru Optiro untuk CNMC, yang mula menghasilkan emas di Sokor pada 2010 selepas tiga tahun penerokaan.

"Setakat ini, CNMC memberi tumpuan penerokaan ke atas prospek dikenal pasti dalam Blok Sokor," kata Christine Standing dan Ian Glacken, pengarang laporan 60 muka surat tersebut.

"Terdapat potensi besar dalam lesen perlombongan Blok Sokor bagi mencari emas tambahan serta galian logam asas."

Pada Februari 2017, CNMC menyelesaikan pengambilalihan 51 peratus pegangan dalam Pulai Mining Sdn Bhd, yang diberi hak untuk melombong emas, bijih besi dan feldspar di tapak kira-kira 38.41 kilometer persegi di Kelantan, berhampiran projek Sokor.

Pada Mac 2017, CNMC mengumumkan ia dalam proses membeli aset perlombongan ketiganya di Kelantan.

"Laporan itu mengesahkan keupayaan pasukan kami untuk mencari sumber galian baharu ketika kami terus mengeluarkan emas dari bumi.

"Kami berusaha untuk meneroka lebih banyak emas dan bahan galian lain pada 2017, bukan sahaja di Sokor, tetapi juga di tapak Pulai Mining yang baru dibeli itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif CNMC, Chris Lim dalam satu kenyataan semalam.

CNMC menawarkan RM2.5 juta untuk 100 peratus pegangan saham dalam KelGold Mining Sdn Bhd, yang mempunyai hak untuk meneroka bijih besi, emas dan/atau bahan galian lain di satu kawasan kira-kira 8.7 kilometer persegi di Kelantan.

Menurut CNMC, laporan Optiro itu disediakan mengikut garis panduan Kod Untuk Laporan Keputusan Penerokaan, Sumber Mineral dan Simpanan Bijih Australiasian yang diterima di peringkat antarabangsa.

Kod itu disediakan Jawatankuasa Simpanan Bijih Bersama Institut Perlombongan dan Metalurgi Australasian, Institut Geosaintis Australia dan Majlis Galian Australia pada Disember 2012.

Laporan itu juga mendedahkan tambahan 246,000 auns perak, 1,880 tan metrik plumbum dan 1,830 tan metrik zink di Sokor tahun lepas berbanding 2015, meningkatkan keseluruhan sumber galian dalam bumi untuk timah kepada 1,964,000 auns, plumbum kepada 22,678 tan metrik dan zink kepada 21,448 tan metrik.

- Bernama