MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Tidak sangka simptom leukemia

Selama ini, seorang ibu tunggal di Kampung Che Wal, dekat sini, menyangka bengkak pada bahu kiri anaknya sebagai penyakit kulit biasa dan tidak pernah terduga olehnya bahawa ia sebenarnya simptom penyakit leukemia limfoma.

Shamsurin Harun, 31, berkata, awalnya dia tidak menyangka perkara itu kerana kawasan bengkak berkenaan tidak terlalu besar.

Menceritakan detik awal anaknya, Muhammad Aliff Shakir Ahmad, 5, disahkan menghidap penyakit itu pada tahun lalu, Shamsurin berkata, pada mulanya, dia membawa anaknya itu ke Klinik 1Malaysia kerana kesihatannya terganggu.

"Muhammad Aliff Shakir diberikan ubat jangkitan kuman. Namun selepas seminggu, tiada perubahan terhadap keadaan kesihatannya dan kemudiannya saya bawa Muhammad Aliff Shakir ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil pemeriksaan di Hospital Kuala Krai benar-benar mengejutkan yang mana Muhammad Aliff Shakir disahkan menghidap leukemia limfoma dan kuman sudah merebak ke hati serta limpa bengkak sekitar sembilan sentimeter," katanya.

Menurutnya, Muhammad Aliff Shakir kemudiannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, pada 24 Januari lalu untuk menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, bermula detik itu, dia terpaksa berulang alik ke hospital untuk membawa anaknya itu menerima rawatan menyebabkan kadar perbelanjaannya semakin bertambah.

"Ketika itu saya bernasib baik kerana adik-beradik membantu. Bermula awal tahun ini juga saya tidak dapat bekerja seperti biasa dan terpaksa kerap bercuti untuk bawa Muhammad Aliff Shakir ke hospital.

"Jika dia kerap demam, maka lebih keraplah saya terpaksa ambil cuti dan jika banyak bercuti, gaji yang diterima juga tidak seberapa," katanya yang bekerja di sebuah kilang kayu, tidak jauh dari kediamannya.

Shamsurin memberitahu, setiap kali ke HUSM Kubang Kerian, dia perlu mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya RM60 untuk tambang dan anak keduanya itu perlu menjalani rawatan kemoterapi setiap tiga minggu dan lebih kerap jika anaknya itu demam.

"Bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM200 daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) sememangnya tidak mencukupi. Setiap kali menjalani rawatan kemoterapi, anak saya akan hilang selera untuk makan dan hanya minum susu khas berharga RM85 setin.

"Ketika itu jugalah lampin pakai buang agak banyak digunakan," katanya yang kini tinggal bersama bapanya, Harun Awang, 74, serta anak sulungnya, Nur Intan Shahfinaz, 7, dan Muhammad Aliff Shakir, selepas kematian ibunya beberapa bulan lalu.

Shamsurin yang baru menerima cek bantuan pesakit kronik daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan turut memaklumkan, Muhammad Aliff Shakir akan dibawa ke pusat imbasan di Hospital Putrajaya.

Penderitaan Muhammad Aliff Shakir turut mendapat perhatian Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Krai, Zuraihah Muhammad yang mengunjunginya untuk menghulurkan sumbangan.

Turut menziarahi anak kecil itu ialah Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman serta wakil kepada Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Orang ramai yang berhasrat membantu Shamsurin boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya, bernombor 03013-41-00002850-6.

 

Sumber:Sinar harian