MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

BN mahu bantu saya gulingkan MB Kelantan – Husam

Husam Musa yang baru dipecat PAS mendakwa wakil rakyat BN menawarkan diri untuk membantu beliau dan ADUN lain di negeri itu untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menerusi undi tidak percaya.

Bagaimanapun ADUN Salor itu berkata, beliau tidak menerima tawaran itu kerana tidak mahu membangkitkan kemarahan rakyat Kelantan dan menyebabkan negeri itu dilanda krisis seperti 1977 di mana darurat terpaksa diisytiharkan dan kerajaan PAS tumbang dengan hina.
 
“Jika tanya BN mereka tak akan mengaku tetapi ADUN BN bersetuju beri SD (pengakuan bersumpah) untuk undi tak percaya kepada Ahmad Yakob.
 
“Saya ingat 1977-1978, rakyat Kelantan mungkin marah dan timbulkan krisis (seperti) dahulu. Saya tidak mahu ulang dan tidak mahu ada orang mengambil kesempatan kepada kerajaan negeri sekarang.
 
“Saya tak mahu kerajaan PAS tumbang dengan hina lagi,” katanya di hadapan kira-kira 200 hadirin yang menghadiri Dialog Bersama Husam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.
 
Pada 1977, MB ketika itu, Datuk Muhamed Nasir dituduh mengingkari arahan PAS.
 
Usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri dengan 20 ADUN PAS menyokong sementara 13 ADUN UMNO dan seorang ADUN MCA keluar dari dewan tanda protes.
 
Beberapa siri demonstrasi dan kekacauan memaksa Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan ketika itu mengisytiharkan darurat pada 8 November 1977 yang seterusnya menjurus kepada keputusan PAS dikeluarkan daripada gabungan BN ketika itu.
 
Husam yang dilihat sebagai anak didik bekas Mursyidul Am PAS dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dipecat awal bulan ini lantaran kritikannya terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan Kelantan.
 
- freemalaysiatoday