MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Husam ramal PRU-14 berdasarkan RUU 355

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa meramalkan pilihan raya umum akan diadakan Mac depan berdasarkan Rang Undang-Undang 355.

Menurutnya, langkah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'membaca' usul RUU 355 dengan perbahasan ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang dijadikan ukuran.
 
"UMNO berjaya menggantungkan isu 'perlaksanaan hudud' di 'titik keseimbangan' atau 'equilibrium point'.
 
"Ia bagus untuk Pas tidak dilihat gagal dalam pendekatannya. Juga sebagai penyedap rasa untuk berterusan dalam senggama politik antara Pas dan UMNO khususnya untuk PRU terdekat," ujarnya dalam satu kenyataan petang ini.
 
Menurut Husam yang kini ahli Parti Amanah Negara, parti komponen BN pula tidak dilihat dipermainkan.
 
"Ia resipi yang mustajab, win win untuk tiga pihak menghadapi PRU secara 'smart partnership' dengan itu, adalah selamat untuk menjangkakan inisiatif Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehari sebelum Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi) membacakan usul RUU 355 hanya berakhir dengan usul 'dibaca' semata-mata," ujarnya.
 
Justeru, menurutnya, pilihan raya umum adalah sebelum Ramadan depan samada Mac atau April depan bagi mengelakkan RUU 355 dibahaskan sehingga menganggu 'keseimbangan' yang terwujud pada hari ini.
 
"Pas adalah rakan UMNO dalam permainan 'segi tiga' atau "triangle equation' sampai PRU. Bagi mereka yang masih mengharapkan Pas bersama dengan pakatan pembangkang akhirnya akan menggigit jari.
 
"Matlamat UMNO adalah untuk mendapat majoriti dua pertiga dengan pertolongan Pas," katanya.
 
Apa akan jadi dengan RUU 355 selepas PRU adalah ditentukan selepas PRU, kata Husam.
 
Sebahagian rakyat khususnya pengundi Islam akan terperangkap antara sentimen RUU 355 dan isu seperti himpitan kos hidup, rasuah, penyelewengan, hutang negara dan ancaman krisis kewangan dan implikasi pengaruh Republik Rakyat China ke atas geo politik, ekonomi, sosial dan keselamatan Malaysia.
 
- MalaysiaGazette