MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Kamu yang keliru, Asri jawab PAS

Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mempertahankan keindahan Islam bukannya terletak hanya pada pelaksanaan hudud tetapi pada tadbir urus yang baik.

Kerana sebenarnya kitab Islam (nas) lebih banyak menyentuh mengenai tadbir urus, akhlak, hak, kebajikan, kebersihan dan alam sekitar berbanding hudud.

Bagaimanapun, mufti Perlis berkata ada golongan yang asyik tertumpu kepada isu hudud. “Seakan itulah yang hendak ditonjolkan oleh Nabi.”

Asri di Facebook hari ini meleraikan agenda itu kepada politik. “Sebenarnya yang mengelirukan itu ialah apabila agama dipolitikkan, ataupun akidah umat dijadikan taruhan politik.”

Semalam, Asri di forum “Sejauh Mana Anda Memahami Hudud” anjuran Angkatan Amanah Merdeka mengkritik penyokong hudud yang menganggap pelaksanaan hukum itu akan menunjukkan “keindahan Islam”.

Hari ini, PAS membidas Asri sebagai seorang yang keliru dan mengelirukan umat Islam.

“Tahukah kamu apakah yang mengelirukan?” soal Asri. “Apabila dahulu parti anda mengkafirkan orang yang berbeza parti sehingga ada yang bercerai-berai, tidak makan sembelihan, solat 2 imam, bahkan sehingga ada yang mati terkorban kononnya syahid menentang berbeza parti.”

“Kemudian, hari ini semuanya sudah berbeza. Padahal parti yang dikafirkan itu tetap sama, bahkan sebahagian besar pemimpin juga tetap sama.

“Anda menyebut ‘Perlembagaan kita adalah perlembagaan penjajah, kafir dan jahiliah’. Kemudian hari ini anda menyebut kita menjunjung dan menghormati Perlembagaan.

“Betapa ramai yang telah menjadi korban oleh fatwa dan amanat parti anda itu?” soal Asri.

Beliau turut menghentam PAS kerana mengubah suai pendirian ketika mahu berbaik dengan parti politik tertentu.

“Kemudian apabila anda bertelagah anda menjadikan mereka munafik, keluar jemaah Islam mati jahiliah, musuh Islam dan sebagainya.

“Ketika anda memenangi beberapa negeri dahulu anda menyatakan hudud bukan keutamaan. Bahkan anda menyatakan ‘selesai masalah pengangguran dulu baru hudud’. Kemudian anda menyatakan sesat, liberal ataupun anti-Islam sesiapa yang mengungkapkan hal yang sama.”

Beliau memohon PAS tidak mempolitikkan agama kerana ia akan mengelirukan keutamaan dalam Islam.

“Dunia maju yang bermatian pelarian Islam lari kepada mereka bukan kerana mereka menjalankan undang-undang tersebut,” kata Asri.

“Sebaliknya kerana mereka menjalankan urus tadbir yang baik. Negara mereka indah sebab mereka tidak ‘menebang balak’ sesuka hati.”

- freemalaysiatoday