MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Annuar bayangkan letak jawatan Presiden KAFA

Selepas kalah 3-1 kepada JDT malam tadi, Tan Sri Annuar Musa membayangkan akan meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) jika semua ikhtiar dan usaha untuk membawa naik pasukan The Red Warrior (TRW) masih menemui jalan buntu.

Beliau membayangkan hasrat itu menerusi status terbarunya dalam laman sosial facebook beliau hari ini, setelah menerima kecaman daripada penyokong TRW atas kekalahan teruk pasukan itu dan prestasi permainan yang buruk musim ini.

"Saya baca semua komentar terutama yang kutuk sana sini. Saya tahu ultras cuba kutuk KAFA, pemain dan saya (juga) tidak terkecuali. Saya juga dengar suara untuk saya berhenti. Semua saya dengar dan redha.

"Insya-Allah bila semua ikhtiar sudah diusahakan dan tidak berjaya, itu (letak jawatan) wajib kita lakukan. Tetapi buat masa ini, beberapa lagi usaha mesti dan sedang dibuat," katanya.

Katanya, waktu susah beginilah terletaknya cabaran yang kuat dan beliau faham budaya rakyat Kelantan iaitu yang bercakap terlalu ramai, sedangkan yang menyumbang agak kurang.

Begitu juga kata beliau, yang meruntuhkan harapan begitu ramai, sedangkan yang membina amat sedikit sekali.

"Beberapa pemain senior mengadu kecewa mereka di'serang'. Nasihat saya agar mereka sabar kerana ramai yang tidak sedar senario Liga M ini sudah berubah.

"Ramai masih beranggapan TRW di tahun 2012 dan 2013 apabila empat pemain import dibenarkan beraksi. Hakikatnya, TRW 2013 hanya tinggal dua orang (import) dalam padang," katanya.

Annuar berkata, KAFA ini mula mengumpul hutang yang banyak akibat kos operasi terlalu tinggi, manakala prestasi pemain pula tidak dapat menyaingi team tajaan negeri serta kelab berdana besar.

Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan TRW akan bertambah parah dan boleh membawa kepada ‘tutup kedai’ jika prestasi permainan tidak menampakkan perubahan.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan terus berusaha dan menambahbaik dari segi kejurulatihan serta kualiti pemain impot dengan memberikan tumpuan kepada rentak dan fizikal pemain tempatan.

"Soal kewangan yang sangat tenat, tetapi kita cuba bermain untuk ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim ini termasuk memperbaiki kedudukan liga TRW.

"Sekiranya gagal, memang kita akan serah kepada mereka yang hebat dan berupaya. Itu pun kalau ada yang sudi tampil untuk mengambil alih TRW,' katanya.

- malaysiagazette