MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

DS Vida sedia RM20 juta taja KAFA

Pengasas produk kecantikan Pamoga dan Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman semakin hampir menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selama dua musim dengan anggaran jumlah melebihi RM20 juta.

Beliau yang popular dengan panggilan Dr. Vida berkata, jumlah tajaan RM10 juta bagi satu musim itu mungkin meningkatkan kerana ia akan turut melibatkan peruntukan dalam pengiklanan, promosi dan pemasaran.
 
Namun kata Ketua Pegawai Eksekutif, Vida Beauty Sdn Bhd. itu, tajaan hanya akan menjadi kenyataan jika KAFA bersetuju dengan dua syarat yang ditetapkan sebelum ini.
 
"Ketika ini, saya sedang meneliti yang draf kontrak yang diberikan oleh KAFA. Sebanyak 80 peratus saya sudah baca dan ada beberapa perkara yang perlu kami bincang lagi.
 
"Jumlah tajaan pun boleh jadi bertambah besar kerana saya akan turut memperuntukan membuat iklan, promosi dan pemasaran secara agresif bagi menjenamakan semula pasukan Kelantan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
 
Pada musim lalu, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata The Red Warriors (TRW) memerlukan peruntukan lebih 10 juta untuk memastikan pasukan itu kekal kompetitif dan sentiasa memberi saingan kepada pasukan lain.
 
Mengulas lanjut, usahawan kelahiran Machang itu memberitahu beliau dan Annuar akan mengadakan perbincangan peringkat akhir sekembalinya Presiden Kafa itu dari Makkah.
 
Annuar dijangka kembali daripada mengerjakan umrah pada Khamis ini.
 
"Kami perlu bertemu secepat mungkin untuk saya kemukakan draf dokumen kontrak bagi pihak saya kepada KAFA pula," katanya.
 
Sebelum ini Dr. Vida mendedahkan KAFA telah melamar syarikatnya untuk menaja persatuan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak tiga tahun lalu.
 
Beliau bagaimanapun berkata, lamaran itu tiada jodoh kerana ketika itu pihaknya belum bersedia untuk menaja pasukan bola sepak.
 
Jelasnya, antara syarat utama jika beliau menaja adalah nama Kelantan mungkin ditukar dengan nama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors seperti Negeri Sembilan yang pernah menukar nama pasukan itu kepada NS Matrix.
 
"Pada masa sama, saya juga mahu tajaan itu nanti mampu melonjak jualan produk terbaharu syarikat iaitu air minuman dalam tin agar dapat dijual 1 juta sebulan.
 
"Selain nama Pamoga dan Qu Puteh ditulis pada jersi pasukan, warna merah jambu yang sinonim dengan produk saya perlu ada," katanya.
 
Jelasnya, tiada yang pelik dengan warna itu kerana kelab bola sepak gergasi dunia, Real Madrid turut memakai jersi warna yang sama.
 
"Cristiano Ronaldo pun pakai jersi warna merah jambu tetapi tidak jadi lelaki lembut pun," ujarnya.
 
- malaysiagazette