MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Kekangan duit buat KAFA pening pilih pemain

Pasukan bola sepak Kelantan antara yang terawal membuat persiapan selepas tersingkir di saingan suku akhir Piala Malaysia musim lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, masalah besar dihadapi beliau dan persatuan itu setiap tahun ialah mendapatkan penaja dan memilih atau membeli pemain terbaik.

Katanya, dengan kedudukan kewangan yang terhad, KAFA terpaksa bersaing dengan beberapa pasukan lain yang turut berbelanja besar dalam mencari pemain untuk pasukan masing-masing.

“Secara prinsipnya kita sudah bersetuju untuk tidak mudah berputus asa dan mengambil pendirian untuk bergolok gadai demi membentuk pasukan yang mantap.

“Kita mengalu-alukan penyertaan dua pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan dan juga penyertaan tiga import baru bagi menggantikan import sedia ada,” katanya yang dipetik dari laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Annuar berkata, perbincangan untuk memuktamadkan senarai terakhir pemain bagi pasukan yang terkenal dengan gelaran ‘The Red Warriors (TRW) itu mengambil masa dua hari dan sehingga kini belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, impian KAFA adalah untuk meremajakanTRW dalam persiapan pasukannya bagi bermain corak permainan serangan pantas.

Namun katanya, keputusan tidak boleh dibuat kerana dilema yang dihadapi pihak pengurusan KAFA untuk memilih pemain dengan mengambil kira usia dan prestasi.

“Sehingga jam 2 pagi ini, senarai pemain tidak dapat dimuktamadkan lagi. Ia masih tergantung antara usia dan prestasi. Sanggupkah KAFA mengambil risiko jika pemain berprestasi tinggi, tetapi sudah berusia? Sebab itu, kita akan meneruskan penilaian terakhir untuk memilih pemain," katanya.

Selain itu, KAFA turut mengatur beberapa perlawanan persahabatan pra-musim bermula Disember ini sebagai persediaan menghadapi musim baru yang lebih mencabar. Antara pasukan yang akan menentang Kelantan ialah Kebangsaan Timor Leste, Kelab Thailand, Bec Teri Sasana FC, dua kelab dari Indonesia iaitu Persib Bandung dan Persija Jakarta dan yang terakhir dari liga tempatan, Terengganu.

- malaysiagazette