MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Kelate.net mahu Red Warriors bangkit

KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) menggesa pasukan The Red Warriors supaya bangkit mencipta kemenangan bagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai juara treble musim lepas.

Presiden Kelantan.net, Khairi Yazid ketika dihubungi mengharapkan pasukan bimbingan Bojan Hodak itu tidak terus mempamerkan aksi hambar seperti mana dalam lima perlawanan sebelum ini.

"Melihat daripada prestasi semasa Kelantan, ia memang sedikit mengecewakan.

"Dalam lima perlawanan setakat ini, kita hanya mampu meraih satu kemenangan, tiga seri dan satu tewas, itu bukan prestasi terbaik selaku juara treble.

"Jadi saya berharap mereka tidak akan mengulangi pencapaian yang sama, sebaliknya membuktikan kita adalah sebuah pasukan yang kuat dan digeruni oleh semua pasukan lain," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, Khairi juga tidak menolak kemungkinan kemerosotan pasukan Kelantan mungkin disebabkan kehilangan empat tonggak utama yang telah berhijrah ke pasukan lain.

"Saya tidak nafikan kehilangan Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya, Chanturu dan Mohammad Ghaddar memberi kesan kepada Kelantan.

"Keempat-empat itu merupakan tonggak penting Kelantan musim lepas, jadi kehilangan mereka sedikit sebanyak menjejaskan prestasi Kelantan.

"Begitu pun, saya sangat berharap selaku peminat, Bojan mahupun pihak pengurusan mengkaji semula setiap kelemahan agar Kelantan dapat bangkit dan kembali menunjukkan taring," katanya yang tetap yakin dengan kemampuan Bojan bagi menggembalikan kembali prestasi sebenar Kelantan.

"Kecewa memang kecewa. Tapi sebagai peminat kami akan terus menyokong dan (sokongan) tidak pernah berbelah bahagi.

"Kepercayaan kami kepada Bojan tetap utuh dan saya yakin Kelantan akan bangkit dan mengekalkan prestasi sebagai juara treble musim lepas," ujarnya yang kecewa dengan pemain import Kelantan, Keita Modju.

"Selain mengkaji kelemahan dari segi jentera serangan dan pertahanan, pihak pengurusan juga harus meneliti kembali persembahan kurang memuaskan daripada Keita.

"Sebagai penyerang, beliau seharusnya menjaringkan gol tetapi sebaliknya terus gagal menemui penyudah.

"Jadi, saya berharap cuti panjang selama tiga minggu ini akan dimanfaatkan sebaiknya bagi mengatur kembali strategi dan memperbaiki kesemua kelemahan," jelas beliau.

- sinarharian