MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Panggil EGM

Sudah tiba masanya soal pertikaian dalam FAM dibincang secara serius

Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan usul supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit.

"Ahli gabungan harus berani bersuara. Saya cadangkan supaya ahli gabungan mengemukakan usul supaya satu EGM dipanggil mengikut peraturan sedia ada.
"Isu penting yang menjadi pertikaian dibawa ke EGM secara teratur dan ahli boleh putuskan segala dasar secara kolektif.

"Hanya dengan cara itu kita boleh menentukan agar FAM melaksanakan arahan EGM lagipun kongres FAM akan diadakan tidak lama lagi," katanya menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Kewibawaan FAM sebagai badan induk bola sepak negara semakin tercalar selepas dikritik hebat beberapa pentadbir sukan termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, baru-baru ini.

Khairy mempertikaikan keputusan FAM memberi hak tuan rumah kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, selepas persatuan itu gagal menangani aspek keselamatan ketika aksi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada 28 Mei lalu.

Semalam, Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula memberi kritikan pedas kepada FAM.
Antaranya Tunku Ismail berkata FAM gagal memberi layanan adil kepada gabungan, tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat, selain membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.

Annuar berkata, kongres biasanya dikendalikan mengikut agenda dan kemahuan urusetia, justeru EGM adalah cara terbaik kerana hanya memerlukan persetujuan satu per lima daripada anggota gabungan dalam membahaskan usul.

"Masanya sudah tiba soal FAM dibincang secara serius dan jika terus berdepan dengan polemik ia tidak ke mana...pada saya bola berada di kaki ahli gabungan dan sudah tiba masanya untuk kita menjaringkan gol," katanya.

Annuar yang juga bekas Timbalan Presiden FAM turut menyokong kenyataan Tunku Ismail yang menegaskan bola sepak negara tidak akan berubah sekiranya FAM sendiri tidak melakukan perubahan.

"Hari ini TMJ sekali lagi meluahkan perasaannya. Saya dapat memahaminya kerana saya sendiri dan Kelantan pernah melalui episod yang sama.

"Beliau adalah Presiden PBNJ yang juga ahli gabungan FAM. Bagi saya beliau berhak untuk bersuara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Ribuan maaf saya tidak hendak membuat apa-apa komen," katanya.

 

SUmber: Bharian Online