MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kelantan

Sukan erat jaringan kerjasama

KOTA BHARU 12 Sept. - Kelantan buat julung kali menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Dwi-Tahunan Pejabat-Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Se-Malaysia yang memasuki edisi ke-12 penganjuran pada tahun ini.

Pegawai Kewangan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat berkata, program yang berlangsung baru-baru ini melibatkan penyertaan hampir 800 peserta dan pegawai dari 13 kontinjen negeri.

Mohd. Faudzi berkata, sempena kejohanan itu juga satu majlis dialog tertutup antara pegawai kewangan dan perbendaharaan turut diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan kewangan.

"Matlamat utama kejohanan adalah mengukuhkan jaringan kerjasama antara warga kerja Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan negeri-negeri di samping mempromosi semangat kesukanan dan gaya hidup sihat.

"Setiap daripada kita menggunakan akta dan pekeliling kewangan yang sama dalam menjalankan urusan kewangan walaupun pentadbiran negeri yang berbeza.

"Kita saling perlu berbincang kerana tanggungjawab kita banyak memfokuskan kepada prosedur kewangan, justeru perkongsian maklumat akan memudahkan kerja serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan kejohanan Sukan Dwi-Tahunan Pejabat-Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Se-Malaysia Kali Ke-12 di Padang Perdana di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim. Yang turut hadir para Pegawai Kewangan negeri dan wakil mereka dari semua negeri yang bertanding.

Sebanyak enam acara dipertandingkan iaitu dart, karom, badminton, ping pong, boling dan futsal selain satu acara sampingan iaitu golf.

Mohd. Faudzi berharap kedatangan para peserta luar yang ramai termasuk dari Sabah dan Sarawak dapat membantu menjana ekonomi penduduk negeri ini sekali gus merancakkan industri pelancongan.

"Bayangkan semua bilik hotel utama di Kota Bharu penuh dalam tempoh seminggu ini kerana kehadiran kakitangan pejabat kewangan seluruh negara, ada yang datang lebih awal dan ada pula yang mahu menyambung percutian mereka.

"Saya jangka mereka akan membeli-belah tidak kurang antara RM200 sehingga RM2,000 seorang sebagai ole-ole untuk dibawa pulang lebih-lebih lagi kalangan yang tidak pernah sampai ke negeri ini," katanya.

Sementara itu, Zainuddin dalam ucapan perasmiannya menggesa kakitangan awam mengambil berat tahap kesihatan diri dan harus aktif menyertai acara sukan dan kecergasan.

Katanya, semakin ramai penjawat awam jatuh sakit pada peringkat awal perkhidmatan lagi dan keadaan ini sudah tentu menjejaskan produktiviti di samping boleh membebankan perbelanjaan kerajaan negeri dalam pembiayaan rawatan mereka.

"Semakin ramai mengalami penyakit yang serius dan kronik seperti penyakit berkaitan kardiovaskular, diabetes, hipertensi dan juga masalah psikiatri, kita sebagai penjawat awam sepatutnya lebih bertanggungjawab menjaga kesihatan diri masing-masing," katanya.

Kejohanan yang berlangsung di negeri 'Cik Siti Wan Kembang' ini melabuhkan tirainya secara rasmi dalam Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim.

Menyingkap sedikit sejarah kejohanan dwi-tahunan ini, ia sebenarnya bermula sebagai Kejohanan Badminton Antara Pejabat-pejabat Akauntan dan Bendahari Negeri Se-Malaysia yang diperkenalkan pada 1991.

Kejohanan sulung itu berlangsung di Kuala Terengganu pada 21 sehingga 24 November melibatkan 10 buah negeri iaitu Terengganu selaku tuan rumah, Kelantan, Pahang, Johor, Melaka, Kedah, Perak, Perlis, Sarawak dan Selangor.

Edisi kedua kejohanan kemudiannya yang dianjurkan di Ipoh, Perak, pada 6 hingga 7 September 1993 tetap mempertaruhkan badminton sebagai acara utama sehinggalah kejohanan itu memasuki fasa baru pada 1995.

Pada tahun itu, kejohanan telah berubah nama kepada Kejohanan Sukan Dwi-Tahunan Pejabat-pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Se-Malaysia dengan satu acara baharu iaitu ping pong dan pertambahan penyertaan tiga negeri lagi iaitu Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sepanjang perkembangan kejohanan itu, bilangan acara sukan semakin bertambah dari tahun ke tahun dan pada tahun ini, Kelantan sebagai tuan rumah telah memilih futsal sebagai acara tambahan.

Menariknya, walaupun kejohanan itu pada dasarnya adalah untuk mengeratkan silaturahim antara penjawat awam yang bertugas di pejabat kewangan dan perbendaharaan peringkat Persekutuan, negeri dan daerah, namun kemeriahannya tidak kurang hebat apabila mempunyai lagu tema sendiri hasil inisiatif negeri Selangor ketika menjadi tuan rumah pada 2003 yang terus digunakan sehingga hari ini.

Pada 2011, Pulau Pinang yang menjadi tuan rumah telah dinobat sebagai juara keseluruhan dan pada 2015 nanti, negeri Terengganu bakal mencipta sejarah menjadi tuan rumah buat kali kedua.

Sumber:Utusan malaysia